Tuesday, 8 November 2011

Cinta Tak Mengenal Siapa Part 5


12/12/2007

“Hari ini waktu bertentangan mata hanya seketika,
Namun hati amat tersentuh dengan sinar matamu,
Suasana ini membuatkan ku terasa seolah hanya ada kita berdua disini, Hasriq.
Tiba malam melabuhkan tirainya,
Berpeluang lagi menatap wajahmu yang lesu
Begitu meruntun hatiku dan sungguh terharu,
Setiap kali lirikkan mataku melirik wajahmu tanpa jemu,
Ingin rasanya mengelus rambutmu penuh kasih sayang,
Memenuhi keperluanmu, mengadakan apa saja yang diminta olehmu Hasriq,
Menerima senyumanmu sebagai ucapan terimakasih sungguh sukar di lupakan.”

Hermmmm… Fariesya mengeluh berat. Perlahan dia melangkah menghampiri Haikal yang baru tiba menjemputnya pulang dari kerja. Haikal amat gembira menerima senyuman manis yang terbit di bibir Fariesya. Begitu menawan lesung pipit di kedua belah pipinya. Sekilas dia menoleh dan terpandang Hasriq memerhati mereka, Haikal mengangkat tangan sebagai tanda menyapa Hasriq sebelum berpaling memaut pinggang Fariesya berjalan ke kereta.

“Sayangku Fariesya,
Ku tak tahu kemana akhirnya kisah kita ini,
Ku tidak mempunyai keberanian memikirkan atau bermimpi mengenainya,
Hubungan ini tiada masa depan, ku sedari dan fahami itu,
Saat ini aku amat keliru dan tertekan dengan situasi ini,
Mungkin ada baiknya jika aku ambil masa yang diperlukan untuk bertenang,
Kenali diriku dan pastikan apa kemahuanku yang sebenarnya.
Aku sedar ianya sukar namun ku pasti terpaksa melakukannya jua,
Bukan kerana aku tak cinta Fariesya tapi aku terpaksa kerana cintaku terhadapmu.”

Hasriq merasa kehilangan arah, perasaannya berkecamuk dan begitu tertekan, sebahagian inginkan Fariesya menjadi ratu di hatinya, sebahagian lagi dia tidak sanggup melukakan hati isterinya Sarina. Terbayang wajah putera dan puterinya, bagaimana jika sesuatu yang buruk terjadi antara dia dan Sarina. Hasriq tak sanggup kehilangan Sarina dan anak-anak namun hatinya jua tak mampu dipujuk untuk melupakan Fariesya.

Hasriq merasa hampir gila, ingin dia melaung sekuat hati melepaskan perasaannya yang terbuku. Hatinya digamit cemburu bila melihat pinggang Fariesya di raih oleh Haikal ketika mereka beriringan ke kereta. Terasa seperti dihiris-hiris oleh belati tajam melihat kemesraan mereka berdua. Dia meraup mukanya dan memujuk hati, “Haikal suaminya dan dia berhak lakukan apa saja pada Fariesya”. Namun api cemburu tetap marak. Hasriq berpaling dan mula mengatur langkah ke kereta.

Friday, 4 November 2011

Cinta Tak Mengenal Siapa


11/12/2007

Hasriq,

Hari ini saya lalui seperti cuaca suram di luar sana. Saya terasa kesunyian saat berjauhan dari awak. Saya tau awak tak sihat, saya risau memikirkannya kerana tak berdaya buat apa-apa supaya awak cepat sembuh.

Perlahan senyuman terukir dibibir bila ungkapan “I Luv U dear” terngiang-ngiang di pendengaran. Tapi apakan daya saya awak, saya tak mampu memberikan reaksi kerana banyak faktor menjadi penghalang. Kita sama-sama tahu, yang saya tak boleh tunjukkan perasaan saya pada awak. Perpisahan hari ini tanpa huluran salam seperti biasa, saya terasa kehilangan.

Hermmm entah la Hasriq!

Saya sedang bermain api ketika ini dan entah mengapa, saya tak merasa takut sedikitpun untuk terbakar kerananya.

Hasriq,

Saya tertanya- tanya di dalam hati, sering saya dengar ungkapan

“CINTA ITU BUTA”
Namun saat ini saya yang membutakan mata kerana cinta.

“CINTA MEMERLUKAN PENGORBANAN”
Namun bersediakah saya untuk membuat pengorbanan Hasriq?

“CINTA PERLUKAN KESETIAAN DAN KEJUJURAN”
Namun mampukah untuk setia dan jujur dalam situasi saya dan awak ini Hasriq?

Wednesday, 2 November 2011

Cinta Tak Mengenal Siapa


10/12/2007

Diari Hasriq

Gadisku Fariesya,
Tika merenda dan menyulam cinta kasih sungguh indah
Aku hanyut dibelai perasaan mencintaimu,
Ingin ku selalu memberikan mu pelukkan hangatku,
Melindungi mu dengan sentuhan kasih sayangku,
Terasa satu perasaan halus yang sukar digambarkan terbit dihatiku
Kala menatap bening sinar matamu,
Senyuman manismu,
Sungguh aku tak sukakan apa yang ku rasakan kini,
Namun ku tak mampu memujuk hatiku yang gila ini…

Diari Fariesya

Sayangku Hasriq,
Setiap sentuhanmu dihatiku melemahkanku,
Tatapan dan lirik matamu membuai perasaanku,
Membuatkan ku terlupa seketika siapa diri ini,
Diriku berubah menjadi insan lain yang ingin selalu berada di sampingmu,
Ingin di sayangi olehmu, di manja tiap tika.
Sesuatu yang tak pernah aku miliki selama ini.
Perasaan yang ku simpan kemas di sudut hati
Tak hairanlah jika semua melihatku sebagai wanita matang, kuat dan berdikari.

Hasriq,
Hakikatnya Fariesya ini telah penat menjadi “wanita” itu.
Aku ingin menikmati perasaan ini,
Merasakan keindahan dicintai dan di manja,
Hanya denganmu Hasriq, Fariesya ini tak perlu menjadi “wanita” itu
Kerana Fariesya bebas menjadi dirinya sendiri.

Masing-masing hanyut dibuai gelora perasaan. Keduanya masih bertahan kerana tahu perasaan itu tidak patut wujud antara mereka. Namun keduanya juga tahu bahawa mereka tak mampu menidakkan perasaan itu.

Telefon bimbit bergetar dan nada dering I’m the Best dari 2NE1 kedengaran. Cepat2 Fariesya mengambil telefon bimbit di atas meja dan menjawap panggilan.

“Assalamualaikum, Ada apa Hasriq?”

“Waalaikumsalam, Awak apa khabar?”

“Saya baik je. Ada apa ni, tetiba je call”

“Saya mengganggu ke? Awak sibuk? Bleh kuar minum jap ngan saya tak?”

“Saya tak sibuk tapi saya tak rasa macam nak kuar la awak. Apa hal yang penting sangat sampai tak leh cakap kat phone aje!”

“Alaaa… awak! Jom la minum ngan saya jap, saya windu la!”

“kalau tak de yang penting, saya tak nak kuar la awak, lain kali je lah yea”

Terus talian dimatikan. Hasriq termanggu sendiri. Hatinya terasa pedih kerana Fariesya menolak pelawaan ingin berjumpa. Rindu lagilah nampaknya.

Fariesya merenung telefon di tangan dengan wajah sayu. Perlahan bibirnya mengucapkan “awak, saya pun rindu, saya pun rasa apa awak rasa tapi ni salah dan kita tak boleh buat macam ni”

Thursday, 6 October 2011

Cinta Tak Mengenal Siapa


Diari Fariesya

09/12/2007

Hari ini ku menerima panggilan darimu Hasriq, Kita bertemu dan menjamu selera walaupun ku merasa kenyang terus bila menatap wajahmu. Matamu tak jemu-jemu mencuri tatap wajahku sehinggakan aku terasa serba tak kena dan malu. Bawah matamu kelihatan sedikit kehitaman, mungkin kerana kekurangan tidur malam tadi. Melayan kerenah ku ber sms hingga ke 3 pagi.

Sayangku Hasriq
Saat ku melihatmu berdiri di situ, Terasa inginku mencium tanganmu, berlari ke dalam dakapanmu namun keadaan sekeliling menyedarkan ku, semua itu tak mungkin berlaku. Suaramu umpama alunan muzik merdu di pendengaran ku.

Sayangku Hasriq
Sungguh ku tak mengerti perasaan ku kali ini, Namun ku sungguh arif perasaanmu padaku. Adakah apa yang sedang berlaku antara kita ini suatu ujian atau suatu petunjuk yang maha esa inginkan tunjukkan padaku. Biarpun ku cuba menyelami dasar hatiku sedalamnya, namun masih tak terungkai persoalan dan tak jua ku temui jawapan.

Mengapa aku Hasriq? Mengapa kita?

Fariesya termenung buntu menatap jendela dengan pandangan kosong.
Persoalan demi persoalan menerjah fikirannya namun satu pun tak ditemui jawapan pasti.

Sudahlah kejutan berani mati dari Hasriq semalam masih tersisa, kini dia keliru pula dengan perasaan yang melanda jiwa dan dirinya.

Jauh terasa rindu, tak berjumpa terasa kehilangan, jatuh cintakah dia?

Masih terpamer di ruang mata paras rupa jejaka yang namanya tak pernah terusir dari hati dan mindanya. Memang Hasriq tak handsome pada pandangannya namun sedap mata memandang. Tidak rendah dan tidak pula tinggi, senyumannya amat manis dan mencairkan hati yang panas. Hermm… Fariesya mengeluh pula.


Tertanya lagi dihatinya, mengapa selama ini dia tidak perasan, kenapa baru kini dia sedari betapa menariknya Hasriq, boleh tahan juga mamat nie. Tetiba rasa cemburu ntah dari mana terbit di hati. Serta merta wajahnya berubah.

Tuesday, 4 October 2011

Cinta Tak Mengenal Siapa



Ku sedari perjalanan kisah cinta antara kita tidak berkesudahan.
Dirimu telah dimiliki begitu jua diriku.
Pasti ada noktah untuk semua ini suatu ketika nanti.
Namun diriku belum cukup bersedia untuk menghadapinya
Perasaan bimbang merajai hati ini
Jika di biarkan berlarutan perasaan ini akan ada hati yang terluka.

Saat ini diriku tidak mampu berfikir dengan waras dan sedang hilang pertimbangan
Ada suatu perasaan yang halus terbit di hati ini
Yang menyukarkan diri untuk melupakan dan melangkah pergi
Menjauhkan diri darimu
Aku sedar dan tahu bahawa diriku sedang mengundang masalah
Namun ku tidak mampu menahan diriku
Untuk menolak perasaan ini terhadapmu
Sesungguhnya diriku benar – benar jatuh cinta dan bertaut kasih kali ini.

Ku tatap pesanan ringkas mu berulangkali
Bait-bait bicara mengetarkan hati perempuanku

“Suaramu pengubat rinduku, Kehadiranmu membawa seribu kebahagiaan,
Dirimu bidadariku, tanpa ku sedari dirimu seperti nyawaku, degup jantungku,
Segeralah kembali ke dakapanku, Kan ku manjakanmu dengan kasih sayangku”

Pertemuan pertama terlayar di minda seorang perempuan yang bernama Fariesya, walaupun telah begitu lama menjadi rakan sekerja namun mengapa baru kini Hasriq mempunyai keberanian meluahkan segala rasa yang terbuku di hati.

Sungguh telah terlambat kerana Fariesya kini menyandang gelaran seorang isteri kepada jejaka yang bernama Haikal. Apa kurangnya Hasriq kerana dia juga merupakan suami kepada seorang wanita yang lemah lembut dan mempunyai segala ciri wanita idaman bernama Sarina.

Segera kewarasan mindanya menafikan perasaan yang mulai terbit namun hati tetap gundah gulana menahan gelora perasaan.

Masih jelas terngiang-ngiang ucapan Hasriq ketika itu di ruang rehat pejabat.

“Fariesya, saya nak cakap sesuatu boleh tak?”

“Apa dia?, Cakap lah”

“Awak jangan marah ya”

“Cakaplah! Nape plak saya nak marah?”

“Kita dah lama berkawan rapatkan, hampir 10 tahun, awak sangat memahami saya, selalu ada waktu saya memerlukan dan selalu menenangkan jiwa saya tika saya runsing, walaupun hanya dengan senyuman awak”

“Lain macam je awak nie Hasriq? Saya ada kecilkan hati awak ke?” seraya Fariesya ketawa perlahan. Dalam hatinya berkata, mengapa pula mamat nie, buang tabiat ke.

“Saya tak sedar sejak bila saya suka awak, saya pun tak tahu bila perasaan ni mula terbit di hati saya. Dah lama saya pendamkan dan sekarang saya dah tak boleh nak simpan-simpan lagi dah”

Fariesya terkejut, bulat matanya meneliti raut wajah Hasriq tapi tak ada seinchi pun kelihatan seperti bergurau, wajahnya amat serius dan matanya merenung ke wajah fariesya.

“Awak nie Hasriq bangun tido tadi, kepala ada terantuk kat mana- mana ke?. Jangan la nak wat lawak bodoh. Tak kelakar la… seram ada la” Fariesya ketawa terkekek-kekek.

Hasriq dengan wajah sayu berkata “ saya tak bergurau la awak!”

Serta merta ketawa Fariesya terhenti dan wajahnya menjadi merah. Matanya bulat memandang wajah Hasriq dan dia benar-benar terkejut…


Bersambung……

Thursday, 22 September 2011

Birthday! hermmm...


Nampak macam sedapkan. apa kata birthday ku tahun nie hadiahkan diri sendiri ngan masakan nie. Rasalah pulak air tangan sendiri. hahaha....

nie menu dia klau ada sesiapa minat nak cuba.

NASI TOMATO

500 g beras wangi } dibasuh & disejat
500 g. beras biasa }
150 g minyak sapi/marjerin
2 bunga cengkih
1 bunga lawang
3 buah pelaga
5 cm kayu manis
1 labu bawang besar (dicincang)
150 ml. puri tomato
1.5 l air
garam secukup rasa
6 camb bawang goreng }
100 g hirisan badam bakar } untuk hiasan
80 g kismis/sultana }

Bahan dikisar:
2 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 labu bawang besar
1.5 cm. halia

1 Panaskan minyak sapi, tumis cengkih, lawang, pelaga dan kayu manis 1-2 minit.
2 Bubuh bahan kisar, kacau hingga wangi.
3 Masukkan puri tomato, kacau 2 minit. Bubuh beras dan gaul.
4 Kemudian bubuh air dan garam. Masak hingga kering airnya. Perlahankan api, tutup periuk.
5 Bila masak, taburkan bawang goreng, badam dan pis.

AYAM MASAK MERAH

1 ekor ayam (1.5 kg, dipotong 8)
garam, serbuk lada hitam secukupnya
1 camb rempah kari } bahan perap
1 camt serbuk kunyit }
340 g tomato sos
2 labu bawang besar (dibelah 2 & dihiris)
minyak untuk menggoreng terendam
garam, gula secukupnya

Bahan Penumis:
5 cm kulit kayu manis
4 buah pelaga
2 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang

Bahan dikisar:
6 biji cili merah
4 biji cili hijau
20 biji bawang merah
10 ulas bawang putih
4 cm halia muda
2 camt ketumbar }
1 camt jintan putih } disangai/goreng tanpa minyak
½ camt jintan manis }

1. Perap ayam, garam, lada hitam dan bahan perap selama 30 minit.
2. Panaskan minyak, goreng ayam separuh masak. Ketepikan.
3. Keluarkan kecuali 3 camb minyak, bubuh bawang besar dan bahan penumis, kacau 1-2 minit.
4. Masukkan bahan kisar, kacau hingga terbit minyak.
5. Bubuh pula sos tomato. Setelah sebati, masukkan ayam. Tutup sebentar agar ayam masak. Bila kuah elok pekatnya, angkat dan hidangkan.

Semakin cepat waktu berlalu, masih terasa-rasa macam semalam baru sambut hari lahir, lagi 2 3 ari dah setahun berlalu.tak sempat nak cipta kenangan indah, belum tertunai azam, masih bertatih mengapai impian, tiba- tiba tersedar dah ditinggalkan waktu.

Sunday, 18 September 2011

Pemerhatian


Hari ini aku merasa amat geram dengan mereka2 yang mempunyai hobi mahal seperti penunggang motosikal berkuasa tinggi dan kereta2 lotus, ferrari yang sering melayan corner di Jalan Genting ni. Tertanya – tanya di hatiku mengapa mereka yang di kurniakan kelebihan dengan kemewahan hidup ini sangat angkuh dan biadap. Aku juga tahu tak semua mereka begitu, masih ada yang tahu menghormati pengguna jalan raya lain, mematuhi undang-undang, menjaga keselamatan dan amat bertimbang rasa.

Lain pula pengalaman yang ku lalui setiap ahad bulan syawal ini. Dua jentera yang berbeza, tetapi mempunyai sikap angkuh dan biadap yang serupa. Seolah-olah kami pengguna jalan raya yang lain tak perlu membayar cukai dan nyawa kami semua lansung tak berharga. Perlukah mereka bersikap biadap begitu memotong diselekoh tajam yang tak kelihatan kenderaan di hadapan, tetap juga memotong walau kelihatan kenderaan dihadapan sememangnya telah dekat, masuk semula ke lorong sesuka hati tanpa menghiraukan kenderaan yang tak mahal macam kami akan ditimpa kemalangan kerana di serang sakit jantung akibat terkejut atau terlambat menekan pedal brek.

Sukar memahami apa yang ada difikiran manusia, sikap dan kemahuan. Adakala mereka yang melakukan perkara bodoh bukanlah manusia yang bodoh. Kadangkala mereka yang bersikap tak senonoh adalah manusia yang sangat berlainan keperibadiannya ketika berada di dalam kelompok mereka.

Penat memikir tanpa jawapan… akhirnya aku membuat rumusan, tak kiralah siapapun didunia ini jika diuji Allah dengan kesenangan dunia pasti sukar untuk terus menepis godaan perasaan angkuh. Sebaik mana pun sesorang itu dan sepenyabar manapun hatinya, sesekali dia akan hilang kewarasan fikiran, tak ada siapa pun yang sempurna dan jangan asyik mencari kesempurnaan, kerana kesempurnaan itu tidak wujud dalam diri hamba Allah. Jika diuji dengan penyakit dan kemorosotan kesihatan, banyak2 lah bersabar dan gembiralah kerana Allah masih sayang kepadamu, Allah masih sudi mengingatimu bahawa masih disayangi dan diberi peringatan untuk bertaubat dan waktu untuk insaf memohon kemaafan. Perbaiki segala kesilapan dan kesalahan.

Alhamdulillah. Ku masih mampu tersenyum dan bernafas. Syukur pada Allah.