Sunday 11 September 2011

Cubaan pertama menulis tentang perhubungan dan rasa hormat




Hati merasa amat sakit bila dituduh pengkhianat, bersandiwara dan menipu oleh insan yang diletak seluruh kepercayaan. Semuanya kerana amarah yang tak pernah padam hingga membenci. Tidak mampukan dirimu belajar memaafkan agar jiwa tenang dan tidak menyakiti hati yang tidak sepatutnya. Hati terluka, marah dan lebih parah lagi kecewa. Titik noktah perhubungan dan rasa hormat semakin jelas kelihatan.

Manis sungguh kata – kata yang dilemparkan padaku,
Sungguh tajam tutur bicara melukakan hatiku tanpa belas
Sungguh terserlah tak berharganya aku pada pandanganmu
Tiba – tiba diriku tersedar, mungkinkah telahan hatiku selama ini benar?
Apa lagi yang mampu ku fikirkan.

Hati kecilku bermonolog sendiri
“Memang dasar pentingkan diri dan hipokrit, bertopengkan keimanan namun ternyata nafsu mu tak mampu menipu, setelah bosan bertamu di hati, setelah kehendak dipenuhi, kau mencipta pelbagai alasan untuk menyingkirkan diriku dari pandangan dan hidupmu, sungguh mengejutkan dan tak ku sangka”

Akhirnya aku putuskan untuk mengorak langkah besar untuk menjaga hati sendiri dan tentukan matlamat arah tujuku. Tanpa ku sedari, mungkinkah ini petunjuk allah pada hambanya yang kerdil sepertiku sebagai hikmah untukku membuat pilihan. Berhentilah dari berjalan ke arah kegelapan sedangkan Allah telah lorongkan jalan yang terang.

Mindaku memujuk hati dan jiwa yang terluka
“ Pejamkan matamu, maafkan dan teruskan kehidupanmu. Tabahlah dan lupakan segalanya yang pernah berlaku, walaupun pedih anggaplah semuanya tak pernah berlaku. Ayuh! Tetapkan pendirianmu, alang- alang melangkah biarlah terus melangkah. Jika pernah menoleh seketika namun janganlah berpaling lagi. Hadapi semuanya dengan penuh kesabaran. Moga Allah lorongkan jalan dan lapangkan fikiran, sesungguhnya allah mengasihiku, diberikannya kesedaran agar tidak terus tersesat jalan dan tersalah pilihan di dalam kilauan keindahan cahaya pelangi disajikan manusia dan duniawi. Insyaallah! Insyaallah! Insyaallah! Akan ku usahakan sepenuh jiwa ragaku. Insyaallah! Amiin ya Allah!”

Mengapa merasa amat terkesan dengan perkataan yang dilemparkan. Masih terngiang-ngiang ditelingaku, masih segar berlegar-legar diminda, Rasa tertekan dan sukar sungguh untuk hati ini memaafkan, lantas meneruskan hidupku. Ku menghela nafas dalam-dalam dan lepaskan, moga ia keluar bersama segala perasaan tidak puas hatiku ini. Wahai hati kuatlah dan ingatlah ku masih punya maruah diri.
Akhirnya ku akur, memaafkan itu lebih menenangkan dan melapangkan hati. Perlahan segala kelukaan diubati waktu dan semakin di biarkan berlalu.

No comments:

Post a Comment